Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 Mac. - Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya kelolaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dengan tema 'Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya' telah diadakan di Dewan Serbaguna, KHEDN, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Guru Ugama di JBP, Awang Haji Shamsuri bin Haji Tuah, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Ahli Bomba Kelas Satu 1026 Amin bin Zainuddin dan seterusnya tafsiran oleh Ahli Bomba Kelas Satu 769 Shaikh Tamamulqamar bin Shaikh Mahmud.
Acara kemudian diteruskan dengan ceramah bertajuk 'Pesan-pesan Ramadan dan Nuzul Al-Quran' yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai sejarah penurunan Al-Quran serta pengajaran yang dapat diambil dan diamalkan di sebalik hikmah turunnya kalam Allah Subhanahu Wata'ala.
Ceramah berkenaan disampaikan oleh penceramah jemputan, iaitu Penolong Kanan Profesor, Fakulti Usuluddin, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Mikdar Rusdi.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya, dan penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Ketua Guru Ugama di JBP, Awang Haji Shamsuri.